22 Januari 2013

Melankolia

Sepurnama
Dari terhilangnya punca

Setiap malam ku mengenyah pekat
Berteman remang yang panjang
Berpujuk lena yang memucat

Tulang temulang ku sedaya menyatu
Mendorong sokong kaki berdiri
Untuk terus menghirup sisa cela dunia
Biar terbiasa

Dan deru angin itu membisik

Rasa itu
Biar cuma secebis pernah tercipta
Walau terbinasa
Takkan mudah untuk melupa.

02 Januari 2013

Hidup

Walau secelaka mana aku luluh dipijak dunia. Aku masih perlu cari nasik untuk terus hidup. Dan bayar hutang.

31 Disember 2012

Jiwa Celaka

Peristiwa yang jarang. Menggila terwujud.

Jiwa Celaka cuba pendam membiasa. Memakan masa untuk menghadam. Hingga meyakin perlu berserang.

...

Bukan kehendak.

Jiwa Celaka pernah berkali menjerkah cuba menolak. Menidak pada harap harap yang tak memasti. Dan pasang surut balasan yang mengabur di balik dinding kabus yang menebal sedikit sebanyak mondorong tidak.

Barah kecil Jiwa Celaka sering beryakin. Memaksa berterus untuk menghidup. Cuba menyerang, walau tak mampu menembus dinding kabus untuk berjumpa setitik yakin. Belum. Masih belum mungkin. Beri masa. Beri masa.

...

Sampai bila?
Rasa makin menggila. Tebal kabusnya masih sama. Menyesak akal dan rasional. Semakin Jiwa Celaka menolak, semakin membesar cebis barah yang dulunya kecil; memakan dan menghidup. Ini gila!

...

Serangan akhir.
Berserang untuk terakhir kali. Menang kalah bukan soalan. Jiwa Celaka sudah tak tertahan. Ini soal maruah dan keyakinan. Mati atau hidup biar tuhan yang tentukan. Walaupun naluri kuat mengatakan mati, peristiwa ini perlu ada akhiran. Jika tergantung, Jiwa Celaka akan menjadi gila yang benar benar gila!

...

Kabus pergi menghilang.
Jiwa Celaka menunduk bersandar. Matanya merenung kosong. Seluruh tubuhnya kujur. Tiada jiwa. Jiwa Celaka telah terkalahkan. Memati.

...

Hilang Naluri

Perkara yang paling susah untuk aku sedar. Paling jarang untuk aku jumpa. Paling usai untuk aku rasa.

Ketika aku mula sedar, jumpa dan rasa. Dan sampai masa aku meyakin dan memberani.

Cuma perlu satu saat untuk menghilang. Dan memati.

11 Julai 2012

Jentelmen


Pagi itu pagi Sabtu. Tidak seperti pagi-pagi Sabtu biasa, pagi itu Ashraf Mustakim bangkit awal pukul 9. Ini kerana pagi itu beliau ada temujanji dengan makwe pada jam 11 pagi. Seperti pakwe-pakwe Melayu urban yang lain, bangun-bangun tidur Ashraf Mustakim terus capai tuala, masuk bilik air, gosok gigi, lima gayung, syampu lebih sikit, tiga gayung, sabun lebih sikit, lima gayung, siap. Teknik yang biasa digunakan jika hari itu dia perlu menghadapi majlis-majlis rasmi atau istimewa.

Ashraf Mustakim ringkas orangnya. Beliau sedar, lelaki kacak dan tegap seperti beliau tidak perlu berdandan berlebihan. Untuk temujanji, cukup sekadar t-shirt 'plain' kolar bulat sedikit fit, jeans lusuh, dan jam tangan. Itu sudah cukup untuk buat makwe-makwe menjeling ke arahnya jika berselisih di jalanan. Untuk sentuhan terakhir, Ashraf Mustakim mencapai minyak wangi Boss yang dihadiahi makwenya. Dua sembur cukup, sebagai tanda ambil hati.

Pin! Pin!

Ashraf Mustakim menekan hon pada stering kereta Proton Saga tahun '86 milik bapanya. Kepalanya menjenguk-jenguk dari tingkap kereta yang sengaja dibuka sejak dari rumah untuk membiarkan angin masuk. Dia memerhati pintu rumah teres dua tingkat di USJ milik makwenya dengan harapan ada pergerakan dalam masa terdekat. Lima minit. Sunyi.

Pin! Pin!

Panggilan kali kedua ni perlu bagi Ashraf Mustakim sebagai amaran awal kepada makwenya agar 'lekas-lekas turun' dan 'sudah-sudahlah tu bersolek, bukan nak jumpa orang lain pun'. Satu minit kemudian kelihatan makwenya keluar dari daun pintu rumah. Dari jauh pintu ke pagar rumah, bibir kecil gadis itu melemparkan senyuman manis ke arah Ashraf Mustakim tanda gembira. Rambutnya yang diikat kuda seolah turut melambai apabila gadis itu menoleh. Jurai-jurai rambut depan menutup sedikit mata redup miliknya. Tangan mulusnya segan melambai. Ashraf Mustakim balas senyum dan mengalihkan pandangannya ke arah odometer keretanya yang enjinnya masih berjalan.

Selesai mengunci pagar rumah, gadis genit itu sopan berjalan ke arah pintu penumpang kereta. Tubuh kecilnya diletak cermat di atas kerusi. Kain baju kurung putih corak bunga jarum ditarik kemas ke betis miliknya agar tidak terkepit apabila pintu kereta ditutup. Pintu kereta ditutup cermat seraya gadis itu menoleh ke arah Ashraf Mustakim dengan senyuman.

"Kita nak ke mana ya, awak?", tanya gadis itu dengan nada teruja bersulam gembira. Senyumannya tidak berhenti dari tadi. Ashraf Mustakim menoleh ke arah gadis itu. Muka Ashraf Mustakim tegas. Dahinya sedikit dikerutkan. Perlahan, tangan kanan Ashraf Mustakim diangkat ke arah wajah bujur sireh gadis comel itu.

"Pinjam 30 ringgit. Minyak kereta dah nak habis. Aku lupa pulak nak cucuk duit tadi."

...

02 Julai 2012

Ketenangan


Padil Ayam kekek-kekek. Amad Vespa menyerongen. Kak Jah Meja Sebelah gelak tutup-tutup mulut.

"Amacam bader? Dengor kabor semalam ada lauk Pizza alla Casalinga. 'Thin crust' lagi. Sekali gigit rapuh dalam mulut. Krup-krup-krup bunyi dia. Keh keh keh keh.", seloroh Padil Ayam penuh keyakinan bercampur hasad. Tangan kanannya menggaya orang tengah suap pizza ke mulut.

Gua pandang Padil Ayam. Gua senyum sambil pejam mata. Tangan kiri gua perlahan menyikat rambut iras-iras Andrae Pirlo gua ke belakang. Sebagai lelaki pasca-Italia, gua sentiasa pastikan diri gua dalam keadaan tenang dan teratur.

"Quanto ci torna in dietro.", balas gua matang sambil menggerak-gerakkan lengan kanan; yang gua rapatkan hujung kelima-lima jari gua, atas bawah. Gaya bicara seorang lelaki Itali sejati.

"Ape kejadah pulak tu?", tanya Padil Ayam menggaru tengah kepalanya yang tak gatal.

"Ada ubi ada batas... Ada lori ada bas...", gua jawab dengan nada penuh kematangan sambil melabuhkan punggung ke atas kerusi pejabat, ditemani senyuman ketenangan.

Padil Ayam sambung kekek-kekek. Amad Vespa menyerongen. Kak Jah Meja Sebelah gelak tutup-tutup mulut.


29 Jun 2012

Separuh Akhir


Dub!

Meja senget ke kiri sedikit selepas kaki gua menendang akibat tindakan refleks separa sedar. Gua terkejut. Terkejut macam kena karen. Perlahan gua pandang kiri, pandang kanan. Kak Jah Meja Sebelah jeling-jeling. Amad Vespa menyerongen. Padil Ayam angkat-angkat kening. Pagi ni sudah tiga kali gua tersengguk-sengguk. Cuma belum cium meja saja lagi.

"Kamu tengok bola ke semalam?", tegur Kak Jah Meja Sebelah perihatin. Gua senyum nipis. Mata gua masih buka separuh-separuh. Tak habis mamai lagi. Amad Vespa sudah kalih ke monitor. Padil Ayam sambung main Solitaire.

"Abang Ramli kamu tengok juge. Akak tengok separuh. Tu pun terjaga pasal abang Ramli kamu teriak tak tentu hala macam orang hilang pedoman masa mamat negro tu jaringkan gol. Padu kemain negro tu rembat. Memang molopong aje la penjaga gol Jerman tu." ulas Kak Jah Meja Sebelah meleret tak ubah seperti Zainal Abidin Rawop. Mungkin sengaja diajak berborak taknak bagi gua mengantuk. Gua mengangguk-ngangguk. Gua senyum nipis.

"Balotelli, kak. Negro tu Balotelli nama dia.", gua melayan Kak Jah Meja Sebelah. Gua mula bersetuju dengan kaedah berborak untuk menghilangkan mengantuk.

"Oh ye ke? Tapi akak tak berkenan betul dengan negro tu. Muka angkuh lain macam. Kalau dapat ke akak. Memang akak dah lempang.", seloroh Kak Jah Meja Sebelah ke gua. Gua senyum sedikit terhibur. Gua tahu jauh di sudut hati Kak Jah Meja Sebelah ni memang betul dia nak lempang muka Balotelli ni.

"Dah tu Itali jumpa siapa pulak lepas ni?", sambung Kak Jah Meja Sebelah. Sifat ingin tahu terhadap persada bola sepak antarabangsa nampaknya semakin tinggi.

"Itali jumpa Sepanyol kak final nanti. Saya rasa perlawanan final nanti menarik kak. Dua-dua pasokan ada kekuatan masing-masing.", jawab gua panjang untuk meransang minat Kak Jah agar terus terjerumus dalam kencah arena bola sepak. Gua jangka boleh tahan juga 'knowledge' Kak Jah Meja Sebelah ni. Ada juga kaki gua ajak borak-borak pasal bola. Kalau cerita dengan Padil Ayam dengan Amad Vespa, asyik keluar cerita Neelofa, Anzalna dan Nur Fathia saja memanjang. Tak berkembang minda gua dibuatnya.

"Akak rasa pasokan mana bakal menjuarai siri Euro kali ni?" soal gua menguji Kak Jah Meja Sebelah ala-ala Abu Bakar Atan tanya ke Viv Anderson.

"Akak rasa Sepanyol akan menang bergaya lawan Itali. Permainan Sepanyol kelihatan kemas. Pengawalan bola memang tak payah cerita. Penyerang mereka juga tajam-tajam belaka. Nak-nak budak Messi tu. Akak dah lama perati ke dia. Bagus permainan budak tu.", tegas Kak Jah Meja Sebelah yakin dengan mata yang bersinar-sinar.

Gua pandang lama Kak Jah Meja Sebelah. Gua senyum nipis.

27 Jun 2012

Celaka - Bab 2


Tap! Tap! Tap!

Jari-jari kasar Amed Nordin mengetuk kuat papan kekunci. Pandangan melekat tepat pada skrin monitor. Tak berkalih. Kadang-kadang dahinya dikerut-kerut sedikit. Formula ini memang dah lama dipraktikkan Amed Nordin untuk kelihatan tekun buat kerja. Padahal mana ada orang kita terus buat kerja awal pagi di pejabat. Pada 2 jam awal pertama dipejabat, tugas sepatutnya seorang pegawai eksekutif ialah mengemaskini status fesbuk dengan luahan rasa tak puas hati berkenaan hal pejabat, melawat blog-blog jualan murah, dan membaca surat khabar di internet.

Amed Nordin bukan saja-saja tekun. Dia awal-awal dah rancang untuk bertindak luar tabii seperti ini. Kalau tak awal-awal dia dah ke pantri bancuh Nescafe pek hijau 3 dalam 1 dan berborak berkenaan gambar-gambar fesbuk makwe pejabat, kemudian beralih ke hal bola sepak, hal politik sikit-sikit, dan selebihnya lawak jenaka entah benda-benda.

"Amboi kemain lagi kau ni Med. Racun mende kau telan semalam sampai rajin tak tentu hala ni?", sapa Kamarudin Mat Piah mengintai di balik dinding sebelah kiri kubikel Amed Nordin. Amed menjeling manja ke arah Kamarudin Mat Piah. Dia senyum nipis. Dia faham benar dengan sifat semula jadi rakan pejabat meja sebelahnya seorang ni. Walaupun dia kelihatan seperti 'suka jaga tepi kain orang', namun ada sisi baik yang buat Amed Nordin tak ambil hati dengan Kamarudin Mat Piah.

"Bukan apa Kama, semenjak masuk bulan Rejab ni aku rasa nak buat perubahan terhadap diri aku. Mungkin aku rasa lebih tenang untuk berdedikasi terhadap kerjaya aku.", bohong Amed Nordin meniru dialog drama Melayu petang.

"Kelakar jenis apa pulak kau ni? Toksoh beda'oh la Amed oi! Kah kah kah kah.", bahak Kamarudin Mat Piah kuat. Kak Rubiah meja depan menoleh ke arah mereka. Mulutnya memuncung dan terkumat-kamit tanda protes. Entah apa yang dimaki kali ni. Memang dari dulu lagi Kak Rubiah jaki sikit dengan kumpulan mereka.

Tettt. Ktak.

Pintu utama pejabat yang cuma boleh dibuka menggunakan kad akses pekerja diguna fungsi. Daun pintu terbuka separuh. Mata Amed Nordin, Kamarudin Mat Piah dan Kak Rubiah meliar ke arah pintu utama. Mereka memang peka dengan bunyi bukaan pintu pejabat sejak mula bekerja di pejabat itu. Posisi kubikel yang terletak tak jauh dari pintu utama membuatkan mereka lebih berhati-hati. Sempat juga nanti disimpan atau dipangkahkan laman blog yang sedang ralit dibaca, atau permainan kompiter yang sedang dimainkan.

Abang Ramlan Kerani masuk dengan membimbit beberapa helaian kertas. Laju menuju ke kubikel Amed Nordin. Pandangan Amed Nordin haram tak memandang Abang Ramlan Kerani. Matanya masih tepat ke arah pintu utama. Bibirnya menyerongen sedikit ke kiri. Amed Nordin senyum nipis.

Susuk tubuh sederhana tinggi masuk ikut pintu utama, mengekori perlahan Abang Ramlan Kerani yang sudah hampir ke kubikel Amed Nordin. "Amacam Cik Amed? Power tak? Keh keh.", kekek Abang Ramlan Kerani sampai-sampai di tempat Amed Nordin. Amed Nordin sambung senyum. Kamarudin Mat Piah melopong. Kak Rubiah meja depan makin panjang muncungnya.

"Hah, Nurul. Ni Cik Amed Nordin. Dia pegawai dekat bahagian pengurusan ni. Awak akan duduk bawah seliaan dia sampai tamat latihan.", terang Abang Ramlan Kerani tegas tapi lembut pada makwe yang baru berhenti depan mereka.

"Selamat pagi, Cik Amed. Saya Nurul Sarah dari UiTM. Ambil jurusan pentadbiran. Saya akan buat latihan di sini selama enam bulan. Harap dapat belajar banyak dari Cik Amed selama saya di sini.", melopong mereka dengar ucapan ringkas pengenalan dari pelajar praktikal baru itu. Suara dia lembut dan sedikit berat. Sedap didengar bila berbual.

Amed Nordin senyum panjang. Abang ramlan Kerani sengih-sengih. Kamarudin Mat Piah masih melopong. Kak Rubiah meja depan tak payah cerita. Muncungnya sudah cecah ke meja agaknya.

"Awak boleh duduk di meja depan sebelah Kak Rubiah.", Abang Ramlan kerani memecah sunyi khayal mereka. "Kalau ada apa-apa awak terus rujuk Cik Amed Nordin ni. Power dia ni.", sambung Abang Ramlan memuji berlebih-lebihan dengan harapan Amed Nordin belanja makan tengah hari nanti. Abang Ramlan angkat-angkat kening sebelum beredar ke meja beliau. Amed Nordin faham dan membalas dengan senyuman yang lebih memanjang.

"Awak duduk la dulu. Nanti saya datang untuk terangkan 'detail' skop kerja awak.",  arah Amed Nordin tenang tapi tegas pada Nurul Sarah. Tak sampai hati pula tengok makwe cun berdiri lama-lama.

"Terima Kasih Cik Amed!", balas Nurul Sarah senyum manis. Dia nampak gembira. Nurul Sarah duduk sambil membelek-belek meja kerja barunya. Mungkin teruja hari pertama menimba pengalaman kerja.

"Celaka kau Med! Patutla lain macam kau punya rajin pagi-pagi ni!", bentak Kamarudin Mat Piah sederhana perlahan.

"Keh keh keh.", kekek Amed Nordin puas hati sambil membelek resume Nurul Sarah yang sudah dua bulan di atas para mejanya.

26 Jun 2012

Celaka


Cip. Cip. Cip.

Burung-burung berkicauan mencari makan. Pagi sudah cerah. Jeriji tingkap yang beberapa jam dulu gelap mula memperlihatkan sopak-sopak karat. Amed Nordin masih dalam kondisi separa sedar. Matanya pejam. Giginya bergesel-gesel membetulkan rahang. Tangannya bergerak menyeluk-nyeluk bawah bantal. Dapat. Talifon bimbit Blekberinya ditarik keluar pelan-pelan.

Amed Nordin buka mata sebelah kiri. Skrin talifonnya gelap. Ibu jari mula memicit-micit butang talifon secara rawak. Mata kiri Amed Nordin menyerengit. Silau. Angka-angka waktu yang tercatat pada papar skrin talifon Blekberi itu memaksa beliau membuka mata kanannya untuk mendapatkan kepastian. Dahi Amed Nordin berkerut tua.

"Celaka!", bentak Amed Nordin perlahan.

Bangun pada pukul 7.23 pagi adalah waktu yang kritikal bagi mereka yang masuk kerja pukul 8.00 pagi. Lainlah kalau tinggal bersebelahan pejabat atau tinggal di dalam pejabat itu sendiri.

Amed Nordin duduk dipinggir katil. Otaknya kecamuk sekejap. Amed Nordin ambil tempoh bertenang. Beliau cuba merancang strategi. Strategi paling pantas untuk bersiap ke pejabat pada situasi kritikal seperti ini. Dekat lima minit berlalu. Amed Nordin masih lahu termenung fikir entah apa-apa.

"Celaka!", bentak Amed Nordin perlahan.

Lekas-lekas Amed Nordin mencapai tuala di tepi tingkap lalu dilibaskan ke bahu kiri. Jurai-jurai benang yang tercarik pada tuala melekat ke sisi muka beliau. Amed Nordin berlari anak menuju ke bilik air.

Burrr! Burr! Burrr!

Ligat kepala Amed Nordin memikir jalan pintas untuk bersiap semasa sedang mandi. "Teori Tiga" terbit dari pemikiran cerdas Amed Nordin. Lap badan tiga kali. Sapu deodoran tiga kali. Sembur 'body spray' tiga kali. Sikat rambut tiga kali. "Satu! Dua! Tiga!" ulang Amed Nordin tegas dalam hati. Amed Nordin berasa sedikit bangga dengan disiplin dan efisyensi yang sedang dilakukannya. Bibirnya menyerongen sedikit ke kiri. Amed Nordin senyum nipis.

Amed Nordin memerhati tubuh di hadapan cermin. Dadanya dinaikkan sedikit tinggi untuk kelihatan tegap. Badannya dipusing ke kiri kemudian ke kanan. Kemeja yang di'tuck-in' ditarik kemas ke bawah. Tali pinggang disisip ketat sambil jari manis Amed Nordin mengeruk zip seluar untuk memastikan ianya sudah ditarik kemas. Ini penting bagi Amed Nordin kerana tak mahu kejadian bulan lepas berbuah dua kali. Ditegur makwe cun pejabatnya akibat terlupa menutup zip bukanlah perkara yang seronok untuk dikenang.

"Hensem jugek aku ni. Sikit-sikit macam Johnny Depp dari tepi. Padanlah makwe goreng pisang semalam senyum panjang tengok ke aku." bebel Amed Nordin sekejap memuji diri sendiri.

Amed Nordin menjeling tangan kanannya. Kosong. Seperti ada kekurangan yang belum disudahkan. "Jam!", ingat Amed Nordin terjerit perlahan.

Jam tangan Bell & Ross hitam yang berjaya dibida di Lelong.kom tahun lepas tergantung bersebelahan cermin dicapai kemas. Elok-elok kepala jam itu dibaringkan atas pergelangan tangan kanan beliau. Tali jam yang berlubang-lubang dimasuk cermat ke dalam timang dan dikunci kemas. Lebihan tali disisip ke pemegang tali jam itu.

Bagi Amed Nordin, aksesori jam tangan amat penting. Pemilihan jenis jam, warna, dan jenama jam tangan itu sendiri menggambarkan peribadi seseorang itu. Logik seorang pegawai eksekutif seperti beliau, orang yang memakai jam tangan adalah orang yang tahu menghargai masa.Original atau replika, belakang cerita.

Amed Nordin berpuas hati. Bibirnya menyerongen sedikit ke kiri. Amed Nordin senyum nipis.

"Celaka!", bentak Amed Nordin perlahan.

Jam tangan Bell & Ross hitam menunjukkan tepat jam 8.10 pagi. Ralit Amed Nordin di hadapan cermin seraya memati. Amed Nordin mencapai beg bimbit dan berlari keluar rumah tak tentu hala sampai lupa mematikan suis kipas bilik.

Amed Nordin lewat lagi ke pejabat untuk kali ketiga minggu ini.

07 Oktober 2011

Nota Belanjawan 2012

"siapa dijaga, siapa terjaga, siapa tak terjaga, siapa kena jaga-jaga.
yang pasti, gua perlu hidup dan mahu terus hidup."