26 Jun 2012

Celaka


Cip. Cip. Cip.

Burung-burung berkicauan mencari makan. Pagi sudah cerah. Jeriji tingkap yang beberapa jam dulu gelap mula memperlihatkan sopak-sopak karat. Amed Nordin masih dalam kondisi separa sedar. Matanya pejam. Giginya bergesel-gesel membetulkan rahang. Tangannya bergerak menyeluk-nyeluk bawah bantal. Dapat. Talifon bimbit Blekberinya ditarik keluar pelan-pelan.

Amed Nordin buka mata sebelah kiri. Skrin talifonnya gelap. Ibu jari mula memicit-micit butang talifon secara rawak. Mata kiri Amed Nordin menyerengit. Silau. Angka-angka waktu yang tercatat pada papar skrin talifon Blekberi itu memaksa beliau membuka mata kanannya untuk mendapatkan kepastian. Dahi Amed Nordin berkerut tua.

"Celaka!", bentak Amed Nordin perlahan.

Bangun pada pukul 7.23 pagi adalah waktu yang kritikal bagi mereka yang masuk kerja pukul 8.00 pagi. Lainlah kalau tinggal bersebelahan pejabat atau tinggal di dalam pejabat itu sendiri.

Amed Nordin duduk dipinggir katil. Otaknya kecamuk sekejap. Amed Nordin ambil tempoh bertenang. Beliau cuba merancang strategi. Strategi paling pantas untuk bersiap ke pejabat pada situasi kritikal seperti ini. Dekat lima minit berlalu. Amed Nordin masih lahu termenung fikir entah apa-apa.

"Celaka!", bentak Amed Nordin perlahan.

Lekas-lekas Amed Nordin mencapai tuala di tepi tingkap lalu dilibaskan ke bahu kiri. Jurai-jurai benang yang tercarik pada tuala melekat ke sisi muka beliau. Amed Nordin berlari anak menuju ke bilik air.

Burrr! Burr! Burrr!

Ligat kepala Amed Nordin memikir jalan pintas untuk bersiap semasa sedang mandi. "Teori Tiga" terbit dari pemikiran cerdas Amed Nordin. Lap badan tiga kali. Sapu deodoran tiga kali. Sembur 'body spray' tiga kali. Sikat rambut tiga kali. "Satu! Dua! Tiga!" ulang Amed Nordin tegas dalam hati. Amed Nordin berasa sedikit bangga dengan disiplin dan efisyensi yang sedang dilakukannya. Bibirnya menyerongen sedikit ke kiri. Amed Nordin senyum nipis.

Amed Nordin memerhati tubuh di hadapan cermin. Dadanya dinaikkan sedikit tinggi untuk kelihatan tegap. Badannya dipusing ke kiri kemudian ke kanan. Kemeja yang di'tuck-in' ditarik kemas ke bawah. Tali pinggang disisip ketat sambil jari manis Amed Nordin mengeruk zip seluar untuk memastikan ianya sudah ditarik kemas. Ini penting bagi Amed Nordin kerana tak mahu kejadian bulan lepas berbuah dua kali. Ditegur makwe cun pejabatnya akibat terlupa menutup zip bukanlah perkara yang seronok untuk dikenang.

"Hensem jugek aku ni. Sikit-sikit macam Johnny Depp dari tepi. Padanlah makwe goreng pisang semalam senyum panjang tengok ke aku." bebel Amed Nordin sekejap memuji diri sendiri.

Amed Nordin menjeling tangan kanannya. Kosong. Seperti ada kekurangan yang belum disudahkan. "Jam!", ingat Amed Nordin terjerit perlahan.

Jam tangan Bell & Ross hitam yang berjaya dibida di Lelong.kom tahun lepas tergantung bersebelahan cermin dicapai kemas. Elok-elok kepala jam itu dibaringkan atas pergelangan tangan kanan beliau. Tali jam yang berlubang-lubang dimasuk cermat ke dalam timang dan dikunci kemas. Lebihan tali disisip ke pemegang tali jam itu.

Bagi Amed Nordin, aksesori jam tangan amat penting. Pemilihan jenis jam, warna, dan jenama jam tangan itu sendiri menggambarkan peribadi seseorang itu. Logik seorang pegawai eksekutif seperti beliau, orang yang memakai jam tangan adalah orang yang tahu menghargai masa.Original atau replika, belakang cerita.

Amed Nordin berpuas hati. Bibirnya menyerongen sedikit ke kiri. Amed Nordin senyum nipis.

"Celaka!", bentak Amed Nordin perlahan.

Jam tangan Bell & Ross hitam menunjukkan tepat jam 8.10 pagi. Ralit Amed Nordin di hadapan cermin seraya memati. Amed Nordin mencapai beg bimbit dan berlari keluar rumah tak tentu hala sampai lupa mematikan suis kipas bilik.

Amed Nordin lewat lagi ke pejabat untuk kali ketiga minggu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan