11 Julai 2012

Jentelmen


Pagi itu pagi Sabtu. Tidak seperti pagi-pagi Sabtu biasa, pagi itu Ashraf Mustakim bangkit awal pukul 9. Ini kerana pagi itu beliau ada temujanji dengan makwe pada jam 11 pagi. Seperti pakwe-pakwe Melayu urban yang lain, bangun-bangun tidur Ashraf Mustakim terus capai tuala, masuk bilik air, gosok gigi, lima gayung, syampu lebih sikit, tiga gayung, sabun lebih sikit, lima gayung, siap. Teknik yang biasa digunakan jika hari itu dia perlu menghadapi majlis-majlis rasmi atau istimewa.

Ashraf Mustakim ringkas orangnya. Beliau sedar, lelaki kacak dan tegap seperti beliau tidak perlu berdandan berlebihan. Untuk temujanji, cukup sekadar t-shirt 'plain' kolar bulat sedikit fit, jeans lusuh, dan jam tangan. Itu sudah cukup untuk buat makwe-makwe menjeling ke arahnya jika berselisih di jalanan. Untuk sentuhan terakhir, Ashraf Mustakim mencapai minyak wangi Boss yang dihadiahi makwenya. Dua sembur cukup, sebagai tanda ambil hati.

Pin! Pin!

Ashraf Mustakim menekan hon pada stering kereta Proton Saga tahun '86 milik bapanya. Kepalanya menjenguk-jenguk dari tingkap kereta yang sengaja dibuka sejak dari rumah untuk membiarkan angin masuk. Dia memerhati pintu rumah teres dua tingkat di USJ milik makwenya dengan harapan ada pergerakan dalam masa terdekat. Lima minit. Sunyi.

Pin! Pin!

Panggilan kali kedua ni perlu bagi Ashraf Mustakim sebagai amaran awal kepada makwenya agar 'lekas-lekas turun' dan 'sudah-sudahlah tu bersolek, bukan nak jumpa orang lain pun'. Satu minit kemudian kelihatan makwenya keluar dari daun pintu rumah. Dari jauh pintu ke pagar rumah, bibir kecil gadis itu melemparkan senyuman manis ke arah Ashraf Mustakim tanda gembira. Rambutnya yang diikat kuda seolah turut melambai apabila gadis itu menoleh. Jurai-jurai rambut depan menutup sedikit mata redup miliknya. Tangan mulusnya segan melambai. Ashraf Mustakim balas senyum dan mengalihkan pandangannya ke arah odometer keretanya yang enjinnya masih berjalan.

Selesai mengunci pagar rumah, gadis genit itu sopan berjalan ke arah pintu penumpang kereta. Tubuh kecilnya diletak cermat di atas kerusi. Kain baju kurung putih corak bunga jarum ditarik kemas ke betis miliknya agar tidak terkepit apabila pintu kereta ditutup. Pintu kereta ditutup cermat seraya gadis itu menoleh ke arah Ashraf Mustakim dengan senyuman.

"Kita nak ke mana ya, awak?", tanya gadis itu dengan nada teruja bersulam gembira. Senyumannya tidak berhenti dari tadi. Ashraf Mustakim menoleh ke arah gadis itu. Muka Ashraf Mustakim tegas. Dahinya sedikit dikerutkan. Perlahan, tangan kanan Ashraf Mustakim diangkat ke arah wajah bujur sireh gadis comel itu.

"Pinjam 30 ringgit. Minyak kereta dah nak habis. Aku lupa pulak nak cucuk duit tadi."

...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan