29 Jun 2012

Separuh Akhir


Dub!

Meja senget ke kiri sedikit selepas kaki gua menendang akibat tindakan refleks separa sedar. Gua terkejut. Terkejut macam kena karen. Perlahan gua pandang kiri, pandang kanan. Kak Jah Meja Sebelah jeling-jeling. Amad Vespa menyerongen. Padil Ayam angkat-angkat kening. Pagi ni sudah tiga kali gua tersengguk-sengguk. Cuma belum cium meja saja lagi.

"Kamu tengok bola ke semalam?", tegur Kak Jah Meja Sebelah perihatin. Gua senyum nipis. Mata gua masih buka separuh-separuh. Tak habis mamai lagi. Amad Vespa sudah kalih ke monitor. Padil Ayam sambung main Solitaire.

"Abang Ramli kamu tengok juge. Akak tengok separuh. Tu pun terjaga pasal abang Ramli kamu teriak tak tentu hala macam orang hilang pedoman masa mamat negro tu jaringkan gol. Padu kemain negro tu rembat. Memang molopong aje la penjaga gol Jerman tu." ulas Kak Jah Meja Sebelah meleret tak ubah seperti Zainal Abidin Rawop. Mungkin sengaja diajak berborak taknak bagi gua mengantuk. Gua mengangguk-ngangguk. Gua senyum nipis.

"Balotelli, kak. Negro tu Balotelli nama dia.", gua melayan Kak Jah Meja Sebelah. Gua mula bersetuju dengan kaedah berborak untuk menghilangkan mengantuk.

"Oh ye ke? Tapi akak tak berkenan betul dengan negro tu. Muka angkuh lain macam. Kalau dapat ke akak. Memang akak dah lempang.", seloroh Kak Jah Meja Sebelah ke gua. Gua senyum sedikit terhibur. Gua tahu jauh di sudut hati Kak Jah Meja Sebelah ni memang betul dia nak lempang muka Balotelli ni.

"Dah tu Itali jumpa siapa pulak lepas ni?", sambung Kak Jah Meja Sebelah. Sifat ingin tahu terhadap persada bola sepak antarabangsa nampaknya semakin tinggi.

"Itali jumpa Sepanyol kak final nanti. Saya rasa perlawanan final nanti menarik kak. Dua-dua pasokan ada kekuatan masing-masing.", jawab gua panjang untuk meransang minat Kak Jah agar terus terjerumus dalam kencah arena bola sepak. Gua jangka boleh tahan juga 'knowledge' Kak Jah Meja Sebelah ni. Ada juga kaki gua ajak borak-borak pasal bola. Kalau cerita dengan Padil Ayam dengan Amad Vespa, asyik keluar cerita Neelofa, Anzalna dan Nur Fathia saja memanjang. Tak berkembang minda gua dibuatnya.

"Akak rasa pasokan mana bakal menjuarai siri Euro kali ni?" soal gua menguji Kak Jah Meja Sebelah ala-ala Abu Bakar Atan tanya ke Viv Anderson.

"Akak rasa Sepanyol akan menang bergaya lawan Itali. Permainan Sepanyol kelihatan kemas. Pengawalan bola memang tak payah cerita. Penyerang mereka juga tajam-tajam belaka. Nak-nak budak Messi tu. Akak dah lama perati ke dia. Bagus permainan budak tu.", tegas Kak Jah Meja Sebelah yakin dengan mata yang bersinar-sinar.

Gua pandang lama Kak Jah Meja Sebelah. Gua senyum nipis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan